Manfaat dan Cabaran Pelaksanaan Falsafah Eklektik dalam Perkembangan Pendidikan di Malaysia.
Eklektikisme berasal dari kata kerja ‘elect’. Idea, konsep
dan prinsip yang baik dari pelbagai mazhab pemikiran telah dipilih, diambil dan
disatukan untuk membuat falsafah yang lengkap. Oleh itu eklektikisme adalah
falsafah pilihan. Eklektikisme tidak lain adalah gabungan pengetahuan dari
semua sumber. Ini adalah jenis falsafah pendidikan yang khas yang menggabungkan
semua idea dan prinsip yang baik dari pelbagai falsafah.
Matlamat adalah sesuatu yang diberi fokus dalam mencapai keberhasilan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dipengaruhi oleh Falsafah Eklektik.
Matlamat ini adalah untuk masyarakat dan pendidikan. Pendidikan ialah satu
sistem dalam sesebuah kehidupan yang mengandungi aktiviti-aktiviti berkaitan
dengan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani
manusia. Masyarakat di Malaysia perlu dipenuhi dengan pendidikan. Walau
bagaimanapun, pendidikan dalam Islam bukan semata-mata memberi tunjuk ajar
kepada masyarakat tetapi meliputi satu proses yang luas. Pendidikan dalam Islam
merangkumi segala aspek kehidupan duniawi maupun ukhrawi. Dalam mendidik
manusia bermasyarakat, Islam mengambil kira hakikat kejadian manusia yang
terdiri daripada jasmani, akal dan jiwa, tanpa mengabaikan sebarang bahagian.
Dengan itu, Islam mendidik manusia secara menyeluruh meliputi semua aspek
kehidupannya sama ada jasmani, akal dan jiwa atau kehidupan yang bersifat maddi
(material) dan maknawi (spiritual).
Di Malaysia, matlamat dan hasrat pendidikan itu dapat dilihat dalam
pembentukan sebuah falsafah pendidikan. Akan tetapi, memandangkan masyarakat di
Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, Falsafah Pendidikan Barat Tradisional
dan Moden dianalisis untuk diterapkan ke dalam budaya setiap kaum di Malaysia.
Setelah bertapak lama di dunia, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan
Malaysia sudah mengenali setiap grak geri pemikiran masyarakat Malaysia. Oleh
itu, bukan sekadar Falsafah Pendidikan Islam sahaja yang diguna pakai tetapi
Falsafah Pendidikan Barat Tradisional dan Moden turut digabungkan. Maka
terhasillah Falsafah Eklektik yang menjadi alat pendidikan yang sesuai untuk
masyarakat di negara kita. Falsafah Eklektik menjadikan pendidikan suatu usaha
yang beterusan kerana Falsafah Eklektik membantu pembentukan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan untuk memupuk pendidikan sepanjang hayat. Pendidikan juga adalah
untuk melahirkan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan makmur serta memberikan
pendidikan ke arah menyumbang kepada kemakmuran negara.
Matlamat yang berorientasikan ilmu membantu pendidikan yang
menyeluruh, bersepadu dan seimbang dengan memberi penekanan kepada standard
kurikulum, standard pembelajaran dan standard penilaian. Standard-standard ini
wujud berdasarkan ciri-ciri yang mempengaruhi Falsafah Eklektik iaitu intelek,
rohani, emosi, jasmani, kognitif, afektik dan psikomotor. Seterusnya, akan
melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
seperti yang ditekankan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Matlamat ini
jelas untuk melahirkan insan yang cintakan ilmu supaya dapat membentuk
ketemadunan manusia sejagat khususnya di Malaysia. Kurikulum yang berasaskan
keperluan dan minat murid diberikan. Ilmu nagli iaitu wahyu dan ilmu aqli iaitu
falsafah dan sains turut menjadi penekanan. Segala bentuk ilmu dan kemahiran
terkini yang diajarkan amatlah sesuai dengan perubahan alaf ke 21 yang tidak
asing lagi mementingkan pengetahuan media serta maklumat, komunikasi dan
teknologi bukan lagi bersifat pengetahuan dan kefahaman semata-mata yang diceritakan
di dalam Taksonomi Bloom.
Pembelajaran murid menjadi salah satu matlamat penting dalam
Falsafah Eklektik. Manfaat kepada pembelajaran murid adalah dapat memperkembangkan
prestasi individu sepenuhnya dan mewujudkan pembelajaran yang aktif. Sebagai
contoh, bagi murid yang beragama Islam, pendedahan dan penjelasan gabungan
antara Fardu Ain dan Fardu Kifayah dan hasilnya akan melahirkan pembentukan akhlak dan
pembangunan insan mulia dalam memberi sumbangan kepada pembangunan tamadun
bangsa dan negara. Selain itu, meneroka dan membina pengetahuan, keterampilan
dan akhlak modal insan serta memupuk peranan bertanggungjawab terhadap diri,
keluarga, msyarakat dan negara. Murid diibaratkan seperti tin kosong yang perlu
diberikan sesuatu yang bermanfaat untuk melihat mereka menghasilkan sesautu
yang sangat bermakna. Oleh sebab yang demikian, pembelajaran murid berpaksikan
kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan banyak membantu dalam pembentukan jati
diri murid. Dari segi lain, murid-murid diberi tumpuan terhadap penyelesaian
masalah dan peranan individu yang termaktub di dalam aliran mazhab falsafah
pendidikan barat moden. Isu semasa dan masalah yang berlaku pada masa hadapan
membuatkan murid mengembangkan perkembangan minda dan cuba mengaplikasi di
dalam kehidupan seharian. Hasilnya, pendidikan sepanjang hayat yang diidamkan
berlaku di dalam Flasafah Pendidikan Kebangsaan tercetus dan seterusnya dapat
membina kesejahteraan diri dan bersedia untuk menjadi insan yang berjaya.
Pengajaran guru ialah guru mendidik secara berterusan sambil
memasukkan keseragaman dalam membina pengalaman bilik darjah dan situasi
pengajaran. Guru amat memainkan peranan yang penting dalam memenuhi matlamat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Corak pengajaran juga menjadi punca
keberhasilan pembentukan individu seperti memainkan elemn didikan secara
lembut, didikan tegas dan didikan berhemah. Malaysia memacu kegemilangan
pendidikan dalam memperkembangan potensi
murid secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani. Selain itu, pembelajaran berorientasikan eklektik merangkumi
aspek pengetahuan murid dan masyarakat. Oleh sebab ini, guru perlulah menjadi ‘role
model’ terhadap pelajar supaya menjadi contoh teladan terbaik yang boleh
diikuti. Setiap perubahan, tindakan, percakapan yang ditunjukkan akan diperhati
sedikit demi sedikit oleh pelajar disekeliling mereka dan elemen-elemen yang
dilihat oleh pelajar akan diserap ke dalam diri dan membentuk insan yang
mempunyai nilai-nilai rohani yang baik atau sebaliknya. Kewujudan Falsafah Eklektik
menjadi tulang belakang dalam menyelusuri pendidikan terbaik yang Malaysia
amalkan.
Akhir sekali, matlmat pendidikan itu sendiri. Matlamat pendidikan dapat
mencapai matlamat pendidikan untuk melahirkan warganegara yang berilmu
pengetahuan, berakhlak, bertanggungjawab dan sejahtera serta dapat memberi
sumbangan kepada keharmonian keluarga, masyarakat dan negara. Pembentukan insan
yang syumul yakni sempurna dalam beriman, berilmu dan beramal soleh (akhlak
yang baik). Jiwa individu yang dipenuhi dengan pendidikan yang pelbagai akan
melahirkan satu perasaan yang positif di dalam diri berbanding dengan individu
yang tidak ingin menggapai pendidikan. Di sini wujudlah individu dan masyarakat
yang berdaya saing dan mampu membawa perubahan kepada diri, keluarga masyarakat
dan negara. Ini mendorong individu untuk melahirkan modal insan yang
berpaksikan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Falsafah Pendidikan
Kebangsaan mempunyai matlamat yang jelas untuk dijadikan rujukan.
Dalam mencapai segala tujuan keberkesanan Falsafah Eklektik yang
diamalkan di Malaysia, tidak dinafikan banyak perkara yang menjadi cabaran
untuk melaksanakannya. Antara cabarannya ialah dari aspek keseimbangan dan harmoni. Seimbang
merujuk kepada moral manakala harmoni bermaksud akhlak. Berdasarkan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan, akhlak dan moral perlu dibina menerusi penghayatan nilai-nilai
murni merentasi kurikulum. Malangnya, sejak tahun 1998, strategi nilai-nilai
murni telah diabai dan dilupakan. Akibatnya, moral dan akhlak murid-murid dan
pelajar-pelajar sekolah hari ini semakin merosot dan rosak. Dewasa kini, ramai
yang boleh mencapai pendidikan dalam ilmu tetapi tidak menghayati kefahaman
yang diperolehi. Segala input yang menjadi objektif utama setiap kurikulum di
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak diamati sepenuhnya akan tetapi hanya
mementingkan intelektual dan bersaing dengan orang lain. Fokus rohani, emosi
dan jasmani tidak lagi dipandang sebagai faktor perdana yang perlu dititikberatkan
oleh pelajar mahupun guru yang mengajar. Akhirnya disinilah terbentuknya
masyarakat yang berilmu tanpa akhlak. Sedangkan pada zaman kegemilangan sarjana
Islam ketika dahulu menghabiskan waktu dengan mempelajari adab berbanding ilmu.
Aspek keseimbangan ini perlu diberi perhatian penting untuk jati diri individu
yang ingin ilmu tanpa mengetepikan elemen-elemen penting yang lain. Dengan ini,
sukar matlamat Falsafah Eklektik ini dicapai dengan gemilang.
Cabaran kedua ialah dari segi menyeluruh dan bersepadu. Perkataan
menyeluruh bermaksud pendidikan yang bersifat holistik manakala bersepadu
bermaksud ilmu wahyu yang hendaklah berfungsi sebagai paksi sebagai ilmu akal.
Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, paradigma ilmu wahyu hendaklah
menjadi teras kepada fungsi akal, kualiti kehidupan dan keharmonian tabii
insan. Oleh itu, pendidikan yang berorientasikan robot, kilang, lulus
peperiksaan dan sekeping ijazah hendaklah dibubar. Pendidikan yang baik
sentiasa bersifat harmoni di antara kebenaran agama, kesihatan fikiran, kualiti
kehidupan dan keharmonian setiap insan. Keharmonian semua faktor ini sebenarnya
telahpun tersurat dan tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Risau
pendidikan ini tidak dicapai dengan cemerlang dalam kalangan masayarakat untuk
menjadi aset yang berharga buat negara akan datang.
Selanjutnya, cabaran keharmonian intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Kelihatannya seolah-olah pendidikan di Malaysia hanya memberi penekanan kepada
potensi jasmani. Dengan kata lain, pendidikan lebih mengutamakan kepentingan
perniagaan, keuntungan, teknologi dan industri. Kita boleh lihat, pendidikan di
sekolah swasta atau institute pengajian tinggi swasta, yuran pengajian
pendidikan yang tinggi umpama menjadikan matlamat perniagaan itu lebih utama.
Penekanan yang keterlaluan lebih memfokus kepada potensi kreatif dan inovatif yang
bersifat kebendaan semata-mata. Maka, tidak hairanlah hanya potensi jasmani
sahaja yang berkembang sedangkan potensi rohani, intelek dan emosi tidak
berlaku. Pendidikan yang tidak seimbang sudah tentu akan melahirkan modal insan
yang tempang. Guru juga kadang kala tidak mementingkan intelek dan seolah-olah
tidak menghiraukan kehadiran anak murid. Jelas kita lihat, pelajar bahkan
guru-guru tidak menghayati sejarah yang telah menetap di negara kita. Adakah
kita ingin melihat negara kita dijajah semula jika tidak mengambil 1001
penghayatan dan semangat?.
Cabaran terakhir iaitu pendidikan Malaysia mengikut acuan Malaysia.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah batu asas kepada pembangunan pendidikan
menurut acuan Malaysia. Namun, pelaksanaan dasar pendidikan sentiasa berubah,
bahkan tidak merujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pelantikan Menteri-Menteri
dan Pegawai-Pegawai tertinggi di kementerian pendidikan selepas tahun 1998
sentiasa membawa agenda baru yang perlu dilaksanakan segera. Lebih malang lagi,
Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak dirujuk secara jujur. Akibatnya, dasar
pendidikan bertambah kabur, kurikulum tidak mempunyai keharmonian, matlamat
pendidikan tidak mempunyai fokus dan seluruh sistem pendidikan semakin tidak
jelas.
Keseluruhannya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan mempunyai ciri-ciri
gabungan antara falsafah pendidikan barat dengan falsafah pendidikan Islam.
Maka disini, terungkailah bahawa falsafah Eklektik ini dibentuk melalui
kedua-dua falsafah pendidikan ini. Falsafah pendidikan barat tradisional
(Parenialisme dan Essensialisme) dan falsafah pendidikan barat moden
(Progresivisme dan rekonstruksionisme) serta falsafah pendidikan Islam yang melahirkan
nilai intelek, rohani, emosi, jasmani, kognitif, afektif dan psikomotor yang
diguna pakai untuk mencapai pendidikan yang berkualiti di Malaysia. Falsafah
Pendidikan Kebangsaan mempunyai kandungan yang sempurna dan lengkap dengan
mengambil pertimbangan tentang pembangunan insan untuk menjadi cemerlang
menerusi pendidikan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan diwujudkan sebagai panduan
dan rujukan kepada Malaysia untuk merancang, melaksana dan mencapai matlamat,
juga digolongkan sebagai Falsafah Eklektik.
RUJUKAN:
Abdullah, D. Z. (2021). Perkembangan
Pendidikan Di Malaysia: Falsafah dan Dasar. Tanjong Malim, Perak:
Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Ismail, A. M. (February 2016). STRATEGI
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM DI SEKOLAH MENENGAH DAERAH
BESUT, TERENGGANU. 2.
Ismail, S. H. (2015). PEMBANGUNAN
INSAN DALAM FALSAFAH, 83.
Sooraj. (27 January, 2013). Literacy
Programme. Retrieved from Educational-system:
https://educational-system.blogspot.com/2013/01/importance-of-electic-approach-in.html
Comments
Post a Comment